Pemansuhan Hak kaum Bumiputera di Malaysia suatu yang tidak dapat dielakkan?
Pada pandangan saya, kewujudan hak kaum Bumiputera di Malaysia adalah satu konsep yang akan dicabar dengan lebih kerap pada masa akan datang. Saya menujukan artikel ini kepada golongan Bumiputera. Bagi golongan Bumiputera seperti anda dan saya, saya merasakan ianya semakin kritikal untuk kita sendiri mengkaji dan menentukan naratif ini sebelum ia ditentukan untuk kita oleh keadaan semasa.
Untuk konteks sejarah ringkas asal usul hak kaum Bumiputera di Malaysia, sila rujuk disini: https://www.im-possible-solutions.com/sejarah-hak-bumiputera/
Keperluan untuk mengekalkan hak kaum Bumiputera semakin sukar untuk dijustifikasikan pada zaman kini. Ini kerana:
- Kaum Bumiputera pada masa kini dilihat berpecah belah
- Kaum-kaum lain telah melahirkan generasi baru yang tidak melalui konteks sejarah yang telah mewujudkan hak tersebut
- Tekanan antarabangsa berkaitan kesaksamana hak asasi
Nota: Ketahui butiran perkara-perkara diatas dengan lebih lanjut di pautan in: https://www.im-possible-solutions.com/dua-pandangan-hak-bumiputera/
- Keberkesanan polisi dan inisiatif berkaitan hak Bumiputera telah berkurangan dan dalam sesetengah situasi, lebih memanfaatkan golongan Bumiputera yang sudah kaya.
Sebagai ahli Bumiputera, saya mengakui masih ada situasi di mana hak Bumiputera adalah relevan dan diperlukan. Malah saya mengambil iktibar ia merupakan legasi dan hasil perjuangan nenek moyang kita. Anda boleh membaca padangan peribadi saya mengenainya di sini: https://www.im-possible-solutions.com/pemikiran-semula-hak-bumiputera/
Saya bukanlah Pak Belalang untuk menujum masa hadapan namun saya pasti kita bukanlah menuju ke arah situasi di mana akan ada dua haluan ekstreme berbeza;
- pemansuhan hak Bumiputera; atau
- ia dikekal dan diperketat namun negara bakal menyaksikan penghijrahan keluar kaum-kaum lain dari Malaysia.
Senario yang lebih logik ialah jalan tengah antara dua situasi tersebut – hak Bumiputera dikekalkan tetapi bentuk dan cara ia diaplikasikan akan berubah mengikut keadaan politik semasa. Tidak kiralah sama ada hak bumiputera akan terus menerima tekanan untuk dimansuhkan dan/atau dihadkan soalannya – bagaimanakah kita dapat memperjuangkan nasib kaum Bumiputera selepas ini?
Hakikatnya, terdapat golongan Bumiputera yang masih tidak bersedia untuk bersaing tanpa hak istemewa mereka. Sedang kita menjangkakan penghakisan skop hak Bumiputera dalam tahun-tahun mendatang, kita perlu memastikan keberkesanan polisi dan inisiatif berkaitan hak Bumiputera adalah berimpak tinggi dalam tempoh yang tinggal. Cara kita melaksanakan dan memanfaaatkan hak Bumiputera perlu berubah agar kita tidak ketinggalan.
Pendapat saya ini bukanlah kerana saya ingin menjadi seorang apologetic tetapi seorang yang pragmatik. Sebagai langkah ke hadapan:
- Kita perlu menerima hakikat bahawa tidak semua polisi dan inisiatif berkaitan hak Bumiputera dahulu masih berkesan pada masa sekarang.
- Kita harus mengkaji semua polisi dan inisiatif berkaitan hak Bumiputera yang sedia ada dan impaknya kepada nilai rantai Bumiputera secara menyeluruh dan secara terperinci – mengambil kira katagori-katagori ahli Bumiputera yang berbeza.
- Kita mesti berani untuk membuang polisi dan inisiatif yang tidak relevan dan mewujudkan polisi dan inisiatif yang baru atau lebih terperinci. Kita harus tidak cepat sensitif atau marah apabila perkara ini dilakukan.
- Kita perlu memperkenalkan KPI dan mekanisma menggalakkan sifat berdikari dan penjanaan keupayaan generasi berterusan untuk kekal produktif dari segi ekonomi.
Sebagai ilustrasi: Salah satu kritikan program pembangunan vendor Bumiputera dibawah agensi kerajaan / syarikat berkaitan kerajaan (Government Linked Company atau GLC) adalah vendor-vendor Bumiputera hanya terus bergantung kepada kontrak yang diberikan. Dalam satu sesi maklum balas saya bersama sebuah syarikat GLC berkaitan minyak dan gas, saya diberitahu bahawa diantara penerima-penerima Bumiputera kontrak tiga tahun yang bernilai jutaan ringgit, majoriti dari mereka memilih untuk bersara selepas dianugerahkan satu kontrak.
Jelasnya, kita perlu meletakkan syarat-syarat lebih ketat buat syarikat-syarikat Bumiputera yang mendapat kontrak kerajaan atau bantuan pinjaman kerajaan. Sebagai contoh:
- Memantau perkara berikut bagi syarikat terlibat sebagai sasaran / syarat pelaporan:
- Peningkatan pendapatan tahunan syarikat;
- Pelaporan nisbah nilai projek pelanggan swasta berbanding projek pelanggan kerajaan;
- Pelaporan nilai saham syarikat (share capitalisation value);
- Pewujudan pelan pewarisan atau succession planning untuk jawatan kritikal dalam syarikat.
- Kontrak / bantuan yang diberikan boleh ditarik balik jika tidak memenuhi perkara 1 (contohnya kadar faedah pinjaman meningkat atau kontrak dikaji semula pada tahun kedua).
- Ahli keluarga si penerima akan disenarai hitamkan daripada menerima bantuan berkaitan Bumiputera pada masa hadapan jika perniagaan gagal.
- Deklarasi /akujanji moral untuk membantu program berkaitan Bumiputera pada masa akan datang.
Dalam satu insiden tahun lepas di mana saya telah menyuarakan pendapat ini kepada Ketua Eksekutif agensi berkaitan agenda Bumiputera, beliau menyokong tetapi tidak merasakan ini sesuatu yang patut dilaksanakan dalam agensi beliau sendiri kerana ia sukar.
Syarat-syarat ini mungkin nampak rumit, tetapi jikalau kita mengambil perspektif bahawa penerimaan hak istimewa Bumiputera ini merupakan amanah yang ditanggungjawabkan, saya rasa ia akan bantu memastikan keberkesanan impak inisiatif hak Bumiputera dalam tempoh yang tinggal. Sebagai manfaat tambahan kita boleh juga mengurangkan Bumiputera “granterpernuer”.
Tuan, puan, kalau kita melakukan perkara yang sama secara berulang kali dan mengharapkan keputusan berbeza, ini merupakan kegilaan yang nyata. Kitalah yang harus menjadi nahkoda mengemudi hala tuju nasib kaum Bumiputera sekarang. Jika tidak, percayalah, badai masa tidak menunggu untuk menentukannya buat kita semua.
Wallahualam.
Article Comments