Ingin saya jelaskan pandangan dan pendirian peribadi saya terhadap hak istimewa Bumiputera:

  • Kalau kita melihat asal usul wujudnya hak Bumiputera, ia adalah untuk memastikan bangsa kita tidak ketinggalan dalam penglibatan ekonomi dan bersifat sementara. Sila rujuk pautan ini untuk ringkas sejarah asal usul hak Bumiputera: https://www.im-possible-solutions.com/sejarah-hak-bumiputera/
  • Tidak wujud sesebuah negara yang aman di mana kaum majoriti berasa mereka tidak mendapat hak penglibatan dalam ekonomi yang sewajarnya.
  • Pada masa yang sama, dalam negara yang kaum minoritinya cukup besar (Malaysia lebih 30% – Sumber DOSM Current Population Estimates 2022), kita tidak sepatutnya membiarkan mereka berasa tidak mendapat hak penglibatan dalam ekonomi yang adil. Jujur pendapat saya, sentimen ini juga antara faktor yang membawa kepada berlakunya situasi brain drain dikalangan kaum bukan Bumiputera.
  • Hak istimewa Bumiputera melalui Dasar Dasar Ekonomi Baru (NEP) telah banyak membantu kaum Bumiputera.
  1. Ibu bapa saya menerima manfaat melaluinya dari pelbagai segi terutamanya bantuan pendidikan yang telah membolehkan mereka untuk mempertingkatkan tahap pendapatan ekonomi sekeluarga.
  2. Saya juga telah menikmati manfaat dari segi bantuan pendidikan, pelaburan ASB dan sebagainya.
Gambar ilustrasi sahaja Sila hubungi saya untuk diberikan pengikitirafan pemilikan atau untuk gambar ini diturunkan.
  • Akan tetapi, saya melihat beberapa perkara yang telah berlaku hasil daripada kewujudan hak tersebut:
  1. Mula wujudnya diskriminasi antara kaum secara tidak formal dimana syarikat yang diketuai sesetengah golongan menyebelahi ahli kaum yang sama.
  2. Contohnya pekerja berbangsa Cina memilih untuk bekerja dengan bangsa Cina sahaja dan, Melayu dengan Melayu sahaja. Atau peletakkan syarat yang bertujuan mewujudkan diskriminasi kaum.
  3. Saya sendiri pernah melalui situasi yang memaksa saya bekerja dengan lebih keras untuk mematahkan persepsi perkauman, yang seolah kita kaum Bumiputera tidak setanding kaum lain.
  4. Saya sangat khutairi situasi di mana ahli sesuatu kaum yang membesar di Malaysia tidak berinteraksi dengan kaum yang lain. Dan ini boleh dilihat dari kewujudan sekolah vernakular / sekolah MRSM / sekolah agama yang kemudiannya mereka-mereka ini memasuki universiti awam (lebih Bumiputera) / universiti swasta (lebih bukan Bumiputera) dan kemudiannya bekerja di syarikat bersifat majoriti satu kaum.
  5. Hak isitimewa Bumiputera ini juga telah mewujudkan persepsi bahawa sesetengah golongan Bumiputera hanya mahukan bantuan kerajaan semata-mata dan malas berusaha dan berdikari. Dan perkara ini dikatakan bukan sahaja oleh kaum bukan Bumiputera malah oleh kaum Bumiputera sendiri juga.
  • Selain itu, keberkesanan komponen-komponen legasi Dasar NEP semakin kurang
  1. Dalam kejayaan Dasar NEP, ia juga mewujudkan golongan elit Bumiputera. Mereka terutamanya yang mendapat manfaat daripada legasi polisi dasar NEP yang berkaitan kuota urus niaga, pemilikan ekuiti dan perdagangan dan sebagainya.
  2. Hasil daripada golongan elit Bumiputera ini, mula wujudnya keluarga elit Bumiputera yang terdiri daripada kelompok politik dan korporat. Sebahagian daripada mereka mula menggunakan kelebihan hak Bumiputera untuk menjanakan kekayaan bertambah tanpa membantu ahli Bumiputera yang lain.
  3. Bukan main sembang kencang pasal hak Bumiputera tetapi terus menindas ahli Bumiputera yang lain. Contohnya: Mengambil kontrak kerajaan bawah dasar Bumiputera tetapi kemudiannya memberikan kepada pelaksanaannya kepada kaum bukan Bumiputera tanpa membangunkan kebolehan sendiri dalam satu jangka masa; Gaji yang dibayarkan kepada pekerja Bumiputera sangat sedikit tapi gaji sendiri lumayan dan boleh beli kereta mewah dan hartanah; Anak sendiri tidak dibesarkan di Malaysia dan tak mengetahui budaya bangsa sendiri; Boleh membeli kereta dan harta mewah tetapi pendidikan anak nak harapkan biasiswa kerajaan; dan sebagainya.
  4. Dalam situasi ini, warga Bumiputera yang betul-betul memerlukan bantuan ditindas, dan ia menjadi faktor negara mengalami brain drain dikalangan kaum Bumiputera sendiri. Lebih baik bekerja di luar negara daripada ditekan di negara sendiri.

Golongan Bumiputera yang mengatakan mereka mampu berdikari tanpa bantuan kerajaan tidak mengambil kira nasib ahli kaum Bumiputera yang lain.

Namun demikian, dalam keadaan kemiskinan tegar semaking berkurangan dan tahap kehidupan rakyat yang meningkat – dengan kata lain the quick wins have been won –, isu-isu berkaitan ketidaksaksamaan harta dikalangan kaum Bumiputera sendiri akan menjadi lebih relevan.

Sebagai seorang Bumiputera, saya menyeru agar kita hadapi dan perbaiki pelaksanaan polisi dan inisiatif hak Bumiputera sedia ada.

Anda boleh membaca saya cadangan untuk bagaimana kita boleh menghadapi perkara ini di sini: https://www.im-possible-solutions.com/pemansuhan-hak-bumiputera/