Pada 14 Disember 2023, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Kementerian Dalam Negeri telah menjawab pertanyaan YB Senator Datuk Seri Zurainah Musa berkaitan pindaan perlembagaan berkaitan kewarganegaraan yang sedang dipertimbangkan. Pindaan ini, antara lain, dibuat untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia dan bapa bukan warganegara.

Lihat soalan dan jawapan penuh di sini pada minit 5:35 hingga minit 25:35: https://www.youtube.com/live/cHpDIG_fR0s?si=IZ-vI7U3ihGHDJba 

Jawapan YB Menteri telah memberi sedikit sebanyak gambaran baik berkaitan pertimbangan dan usaha tungkus lumus pihak kementerian dalam cubaan untuk memperbaiki keadaan ini untuk semua pihak.

Tidak semua perkara sempat dijawab dan saya percaya ada butiran tambahan Kementerian yang kita masih tidak sempat dimaklum dalam jawapan tersebut. Ini ekoran masa di Dewan Negara untuk menjawab soalan ini terlalu suntuk kerana agenda harian lain dan faktor isu ini yang sangat kompleks. 

Oleh itu, saya juga ingin mencadangkan kepada pihak kementerian untuk mempertimbangkan beberapa perkara berdasarkan pemerhatian saya:

1) Pengaplikasian kawalan kewarganegaraan kepada para bapa Malaysia.

Kita perlu memastikan perkara sama diaplikasikan kepada para bapa Malaysia juga. Pertimbangan kawalan kepada pemberian kewarganegaraan ini sepertimana yang disebutkan YB Menteri sangat penting. Ia tidak jelas daripada jawapan YB menteri samada cadangan penyelesaian kementerian kepada isu ini  iaitu untuk anak diberikan warganegara automatik tetapi cucu perlu memohon akan diaplikasikan kepada anak-anak yang dilahirkan luar negara kepada bapa malaysia dan wanita bukan warganegara.

Untuk makluman,  isu kebolehan anak dilahirkan luar negara mendapat dual citizenship mengikut ibu bukan warganegara Malaysia dibenarkan di hampir semua negara sedunia kecuali 24 negara. Maksudnya risiko sama hadir bagi bapa dan juga ibu Malaysia yang melahirkan anak diluar negara kepada pasangan bukan warganegara. Asas cabaran mahkamah kes Suri Kempe adalah ketiadaan saksamaan layanan antara jantina – inilah asas mengapa kerajaan tewas sewaktu kes didengari di Mahkamah Tinggi. Pindaan ini seharusnya memastikan kawalan kewarganegaraan dilaksana secara saksama antara jantina selari dengan niat Kementerian.

2) Kawalan kepada generasi kedua ini yakni si cucu perlu diteliti dengan perinci. 

Jikalau ya pun ia diaplikasikan kepada kedua-dua jantina, saya berharap kawalan kepada generasi kedua ini yakni si cucu akan diteliti dengan perinci.  Bagi saya semestinya pihak kementerian akan memastikan butiran tambahan samada garis panduan yang terperinci berkaitan cara kelulusan dan bahan bukti yang diperlukan bagi si generasi kedua ini. Ini kerana jika ia dilaksanakan sepertimana yang sempat diperjelaskan dalam jawapan YB Menteri, it is pushing the problem to the next generation. Yakni cucu pula akan mengalami keperitan yang sebelum ini dialami oleh generasi pertama. Ketiadaan kewarganegaraan akan anak tersebut daripada perlindungan hak asasi dan kebolehan untuk berbakti kepada negara.

3) Pemerincian cara penyelesaian bagi mereka yang tidak mendapat perlindungan pindaan

Jawapan YB menteri telah menyatakan bahawa pindaan yang akan dibuat adalah bersifat TIDAK retrospektif. Ini bermaksud tiada penyelesaian bagi kanak-kanak yang telah lahir sebelum pindaan ini. Kementerian perlu mempertimbangkan cara dan langkah jelas bagaimana mereka akan dibantu sama ada dengan komitmen tempoh pemprosesan untuk memberikan closure kepada para pemohon.

4) Impak pindaan kepada perlindungan hak kewarganegaraan bagi golongan lain

Kita perlu memastikan pindaan ini tidak juga menjejaskan hak dan perlindungan kewarganegaraan golongan lain. Sesi maklum balas yang telah dijalankan oleh pihak kementerian sebelum ini telah merisaukan ramai organisasi kerana keluasan kesan dan impak pindaan ini kepada senario kewarganegaraan beberapa golongan lain. YB Menteri tidak sempat mengulas dengan perinci perkara ini tetapi saya ambil maklum ia masih sedang dibangunkan pihak Jabatan Peguam Negara. Saya harap pandangan para NGO akan diambil kira dan perlindungan sedia ada diteruskan bagi golongan rentetan dan selaras dengan obligasi antarabangsa Malaysia.

Gambar bersama Datuk Seri Zurainah Musa dan Usul Peraturan 17 yang dibawa kepada Dewan Negara untuk membahaskan isu kewarganegaraan pada Ogos 2022

Perspektif Isu Produktiviti Ekonomi Negara

Sebarang pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan sememangnya sensitif dan perlukan kajian mendalam. Saya akui pemahaman saya cetek. Saya merupakan seorang yang lebih berpengalaman dalam polisi berkaitan pembangunan sumber manusia tetapi setelah lama mengkaji perkara ini, tergerak untuk saya menyuarakan pendapat ini. 

Ini kerana saya berpandangan terdapat keperluan untuk kita menerima lebih banyak orang yang berkebolehan demi produktiviti ekonomi kita selaras dengan situasi negara yang sedang menuju ke aging nation dan sedang mengalami low fertility.  Agak sedih jika kita menghalang mereka yang mempunyai talian rapat dan benar kepada Malaysia daripada mendapat kewarganegaraan apabila produktiviti ekonomi negara memerlukan mereka. 

Sesi maklumbalas bersama Family Frontiers pada April 2023

Akan tetapi saya juga akui kawalan kewarganegaraan ini penting, Datuk Moyang kita berarak melawan Malayan Union kerana perkara ini. Mengikut kajian sejarah terhad saya, itulah antara sebab apa-apa pindaan yang melibatkan kewarganegaraan memerlukan kelulusan Majlis Raja-raja.

Oleh itu, kita perlu mencari jalan pertengahan di mana mereka yang terjejas dapat dibantu. Jalan ini perlu memastikan kesaksamaan jantina untuk manfaat para keluarga-keluarga Malaysia dan demi kemakmuran ekonomi negara untuk berterusan.

Nota: Segala pandangan yang diutarakan ini merupakan pandangan peribadi saya dan tidak mewakili mana pihak atau pun organisasi di mana saya mempunyai kaitan.