Konteks sejarah hak Bumiputera
Asal usul hak Bumiputera di Malaysia boleh dilihat dari Perlembagaan Persekutuan Malaysia – Perkara 153.
Perkara 153 secara ringkasnya menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai tanggungjawab untuk melindungi kedudukan istimewa Bumiputera (Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak dan kaum-kaum lain). Ini termasuklah dengan mewujudkan kuota untuk kemasukan penjawat awam, biasiswa dan pendidikan dan lesen perdagangan dan perniagaan.
Jikalau kita mengkaji Laporan Reid Commision yang telah menggubalkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, ia menyatakan bahawa hal ini diwujudkan setelah mengkaji perjanjian-perjanjian asal British dengan negeri-negeri Melayu. Ia sepatutnya diteruskan atas keperluan untuk memastikan kaum-kaum Bumiputera tidak ketinggalan. Akan tetapi, perkara ini bercanggah dengan idea untuk memastikan kesaksamaan antara semua rakyat Malaysia (dibaca – Malaya kerana waktu itu Malaysia belum wujud lagi).
Melalui perbincangan dengan Raja-raja Melayu dan Kerajaan pada masa itu, ia diakui bahawa semua rakyat Malaysia perlu mendapat hak saksama. Dan berdasarkan maklum balas dengan semua kaum-kaum lain, tiada bantahan untuk kedudukan istimewa ini diteruskan. Berdasar semua perkara diatas, Reid Commission telah menyatakan bahawa Perkara 153 sepatutnya diteruskan dahulu dan secara berperingkat dikurangkan sehingga terhenti.
Nota: sebagai sebahagian Memorandum 20 Perkara, kaum anak negeri Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam Perkara 153 dan secara langsung mewujudkan klasifikasi Bumiputera.
Jika anda mengikuti perbincangan berkaitan hak Bumiputera, inilah tunjang kepada konsep “kontrak sosial” antara kaum-kaum yang dinyatakan pada tahun 1980an dimana kaum bukan Melayu/Bumiputera yang tidak dilahirkan di sini harus menerima hak istimewa Bumiputera untuk mendapatkan kewarganegaraan dalam Malaya/Malaysia. Perlu diingat bahawa ini merupakan perkara penting kerana usaha untuk menubuhkan Malayan Union (sebelum penubuhan Persekutuan Malaya) telah ditolak dan antara alasan diberikan merupakan pemberian kewarganegaraan kepada kaum bukan Bumiputera tanpa sebarang had.
Perkara 153 ini sangat sensitif dan ia antara perkara yang telah mencetuskan perbalahan tragedi 13 Mei 1969 dan tindakan mengeluarkan Singapura daripada Malaysia.
Saya tidak akan mengulas dengan panjang mengenai tragedi 13 Mei 1969, tetapi secara ringkasnya ia merupakan pergaduhan antara kaum Melayu dan Cina selepas Pilihanraya Umum tahun 1969. Antara faktor ketidakpuasan itu ialah isu kemiskinan di kalangan kaum Melayu. Kegelisahan berulangnya tragedi tersebut turut dizahirkan rakyat Malaysia yang pernah melalui tragedi 13 Mei ketika negara menghadapi Pilihanraya Umum Ke 15 baru-baru ini.
Dasar Ekonomi Baru (NEP), yang diwujudkan selepas tragedi 13 Mei, berjalan selama 20 tahun dari tahun 1971 sehingga 1991. Penggubal dasar ini telah mengkaji tragedi 13 Mei dan mendapati bahawa perpaduan tidak akan tercapai jikalau tiada penglibatan semua kaum dalam ekonomi. Berdasarkan itu, NEP telah diperkenalkan dan ia memperluaskan tindakan affirmative action bagi kaum Bumiputera. Di sinilah terlahirnya sasaran kuota 30% pemilikan harta/ekonomi/ekuiti oleh kaum Bumiputera.
Komponen-komponen dasar NEP diteruskan dalam pelbagai cara sehingga lah ke hari ini dan inisiatif dasar asal menjadi rujukan untuk sebarang tindakan untuk membantu kaum Bumiputera.
Sekarang dengan adanya pengetahuan asal usul hak Bumiputera, bagaimanakah seorang ahli Bumiputera boleh menilai relevansi hak Bumiputera dan impak Dasar NEP?
Pandangan peribadi saya mengenai perkara ini boleh dibaca di sini: https://www.im-possible-solutions.com/pemikiran-semula-hak-bumiputera/
Article Comments